June 11, 2014

Air mata keinsafan tumpah ditanah suci


Air mata sayu tumpah  di Tanah suci...


Bismillahirohmanirohim...
Assalamualaikum sahabat2 tersayang... 


Tanggal 4 Mei 2014 jam 11.00am dari LCCT berlepas menuju Tanah Haram..
mencatat sejarah, apabila perjalanan yang panjang melalui tanah Malaysia ke Jeddah (8 jam dalam pesawat) penerbangan Air Asia  dapat dilalui dengan selamat berkat doa adik beradik sanak saudara dan rakan taulan. Kami berniat ihram diatas pesawat miqat di Qarnul Manazil 45 minit sebelum mendarat di Jeddah. Bermulalah pantang larang didalam ihram yang perlu dijaga. Jam 8 malam waktu Malaysia (perbezaan 5 jam) pesawat mendarat dengan selamat di Jeddah.



Dalam kedinginan pagi bertolak dari  Jeddah ke Mekah dengan menaiki bas, rombongan kami selamat tiba di mekah (45 minit menaiki bas). Sampai di Hotel Hera Palace, Mutawif (Ustaz Armin Azhari) mengarah membawa bagasi kebilik masing2 dan rehat 1 jam sebelum berangkat megerjakan Umrah pertama kami. Tanpa membuang masa, meninggalkan hotel penginapan (bilik 219) untuk ke Masjidil Haram seawal jam 12.00 pagi melalui pintu 1 (King Abdul Azizi). Tiada perkataan yang boleh menggambarkan perasaan saya, hanya tersimpul kata-kata "Alhmandulillah ya Allah, aku bersyukur di atas segala rahmat dan nikmat yang dikurniakan, nikmat rezeki, nikmat kesihatan dan nikmat berpeluang mengerjakan umrah."


Dengan berpakaian  ihram, kami bergerak dalam kumpulan ke Masjidil Haram. Di tengah-tengah Masjidil Haram terbinanya Kaabah (Baitullah). Sebaik-baik sahaja melihat sendiri  Baitullah dengan kedua belah mata, Subhanallah.. . .  Hanya Allah yang tahu sejuta rasa yang bermain di jiwa, hatiku begitu tersentuh hingga mengalirkan air mata.  Semasa tawaf 7 keliling, aku tidak melepaskan pandanganku kepada  Baitullah  walaupun mataku bergenang sepanjang mengelilinginya. Semasa solat sunat selepas tawaf di Multazam, airmataku terus saja mengalir kerana tidak menyangka, aku masih diberi peluang oleh Allah untuk menjejakkan kaki ke tanah mulia tersebut. Terasa diri ini terlalu kerdil jika dibandingkan dengan keagungan Allah S.W.T dan terasa dekat diri ini kepada Allah pabila bersolat berdekatan dengan Baitullah.



Sepanjang kembara kami di Arab Saudi, kami ditemani atau dibimbingi oleh mutawif kami, Ustaz Armin Azhari digelar sebagai Ustaz Kampung merupakan org Kelantan. Aku suka dia ni. Muka jernih, humble, elok tutur bahasa, ada ilmu (bab-bab umrah), senang berbicara, segera membantu. Persoalan mudah terjawab..diapun agak lawak dan menghiburkan..
Bila naik bas, mutawif akan pegang mic. Dia akan beri penerangan tentang ke mana kami akan pergi. Lepas tu dia akan ceritalah serba sedikit tentang kisah-kisah di sebalik bangunan-bangunan dan tempat-tempat bersejarah yang kami lalui. Dia bacakan doa perjalanan. Malah dia bacakan semua doa yang sepatutnya kami baca (seperti doa bila mula masuk Madinah, dan doa bila mula nampak kota Makkah). So kami ikut je beramai-ramai. Masa umrah, dia lead the way. Dia beri semua penerangan di semua check-point. Lepas itu kami follow je dia. Dia baca doa kuat-kuat dan kami ikut. 

Hanya Allah SWT sahajalah yang membalas segala usaha murni dia tu. Amin. Sampai hari ini di mejadi sahabat kami..Ikatan tak terputus Group WhatsApp menjadi penghubung kami..Alhamdulillah..

Hotel di Mekkah

Hotel Herra agak terceruk skit berbanding dengan hotel-hotel lain di Madinah dan Makkah, rupa hotel ni agak usang skit tapi kt dalam ok. Jauh jugak dari Masjidil Haram lebik kurang 700m. Signboard hotel di luar bangunan pun dah pudar. Tak silap pendengaran aku, hotel tersebut dipajak oleh Andalusia Travels, tapi bakal diruntuhkan sebab kerajaan Arab Saudi nak besarkan kawasan tersebut. 
Bilik kami tingkat enam, tempat makan tingkat empat. 

Makkah ialah kota suci tempat kelahiran Nabi Muhammad s'a.w dan tempat turunnya wahyu Allah yang pertama yang membawa Islam ke dunia ini. Di Makkah jugalah terdapatnya kaabah yang menjadi kiblat seluruh umat Islam di planet ini. Di Makkah juga ada telaga zam-zam, dan masjid yang terbesar di dunia iaitu Masjidil Haram. Suhu paling sejuk di Makkah ialah 10 darjah (bulan Februari) manakala suhu paling panas ialah 49.8 darjah (bulan Julai).
Setiap tahun seramai 15 juta umat Islam akan melawat kota Makkah. Pada setiap hari pula, seramai 1.5 bilion umat Islam seluruh dunia akan mengadap Makkah semasa bersembahyang. Kota Makkah adalah untuk umat Islam sahaja. Orang bukan Islam tidak dibenarkan masuk ke kota Makkah.
Dulu kawasan Makkah tidak berpenghuni, kering dan tandus tanpa air. Sejarah Makkah bermula dengan Siti Hajar dan anaknya Ismail yang ditinggalkan oleh Nabi Ibrahim a.s. Selepas penemuan mata air zam-zam, Makkah mula didiami oleh suku Jurhum dan akhirnya menjadi kawasan petempatan.
Sekarang Makkah didiami oleh dua juta orang penduduk. Jarak antara Makkah dengan Madinah mengikut jalan raya ialah 436.3 km. Perjalanan menggunakan kereta memakan masa selama 4 jam. Kami menuju ke Makkah dari Madinah menggunakan bas dan perjalanan kami termasuk bermiqat di Bir Ali dan singgah makan mengambil masa lebih kurang lapan jam.









3 meter ke Timur Kaabah, terletaknya Makam Ibrahim. Makam ini bukan tempat baginda disemadikan. Di dalam binaan kaca ini, terdapat batu bekas pijakan kaki Nabi Ibrahim ketika membina Kaabah.  Di samping pintu Kaabah terdapat Hijr Ismail (tempat makbul doa). Ia dikandung dengan binaan tembok marmar setinggi 1.5 meter berbentuk separa bulat. Di situlah tempat tinggalnya Nabi Ismail seterusnya tempat beliau disemadikan bersama ibunya (Siti Hajar isteri ke-2 Nabi Ibrahim). Di atas Hijr Ismail terdapat pancuran emas. Sele[as tawaf menuju ke dataran saie mengimbau pengorbanan Siti Hajar Atas perintah Allah, Nabi Ibrahim meninggalkan isterinya Hajar dan putera kecilnya Ismail di suatu lembah yang tiada berpenghuni di sisi Kaabah. Bayangkan betapa sedih dan pilu seorang insan untuk berpisah dengan isteri dan anak yang disayangi. Tetapi, Nabi Ibrahim a.s kerana ketaatannya kepada Allah, maka Nabi Ibrahim meninggalkan kedua insan yang dikasihi di sisi Kaabah dengan dibekalkan doa dan harapan semoga Allah memelihara mereka berdua dan zuriat-zuriatnya yang akan datang.
Bagi Hajar pula sebagai wanita Mukminah yang bertaqwa kepada Allah, dia rela ditinggalkan suaminya pada hal Makkah waktu itu tiada berpenghuni, tiada air dan tiada tumbuh-tumbuhan. Hajar yakin terhadap Tuhannya Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang, tentu Dia tidak akan mensia-siakan dirinya dan puteranya yang masih kecil.
Setelah ditinggalkan, beberapa hari kemudian bekalan makanan telah habis. Ismail menangis kelaparan dan kehausan. Sedang susu di badan Hajar telah kering. Hajar sebagai seorang ibu dengan azam yang kuat berusaha mencari air. Ismail diletakkan di sisi Kaabah, lalu dia berlari menuju ke Bukit Sofa yang tidak jauh dari situ. Di sana dia melihat sekeliling kalau-kalau ada air. Dilihat di Bukit Marwah, bayangan seolah-olah ada air di sana.
Hajar lari pula ke Bukit Marwah dengan harapan bertemu dengan air.  Tetapi rupanya hanya “fatamorgana” kerana cuaca yang panas terik menimbulkan bayangan seperti air. Berlari semula Hajar ke Bukit Sofa. Demikian dilakukan oleh Hajar berulang-alik di antara Sofa dan Marwah sebanyak tujuh kali. Begitu solid iman Hajar yang masih penuh harapan dan tidak putus asa atas rahmat Allah.  

Akhirnya ketika Hajar di atas puncak Bukit Marwah, tiba-tiba dia terpandang semacam kilauan air dekat Kaabah. Hajar pun meluru ke sana. Dan dia mendengar teriakan malaikat menyebut: ” Zamzam ! Zamzam !!! (Kepung ! Kepung !!!). Betapa gembiranya Hajar apabila benar-benar menyaksikan mataair sedang memancut-mancut di sisi puteranya Ismail, lalu ia dikepung oleh Hajar dengan pasir dan batu-batu mengikut arahan malaikat tadi. Air pun bertakung dalam keadaan jernih. Hajar menceduk air itu dan diberikan kepada puteranya Ismail.

Alhamdulillah, telaga Zamzam wujud hingga kini sebagai bukti betapa seorang insan (Hajar) yang benar-benar beriman dan bertaqwa kepada Allah, maka dia tidak disia-siakan. Sebaliknya mendapat limpah kurnia yang tidak terduga sesuai dengan firman Allah bermaksud :
” dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah, nescaya Allah akan mengadakan untuknya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkan) serta memberi kepadanya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan sesiapa yang bertawakkal kepada Allah, nescaya Allah mencukupkan kehendakNya. Sesungguhnya Allah itu melaksanakan kehendakNya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan ukuran segala sesuatu.”

Ketika minum air zamzam, sepatutnya darjat iman kita akan meningkat naik kerana mengingat kekuasaan Allah, yang memakbulkan doa hambaNya yang beriman dan bertaqwa kepadaNya. Dengan kekuasaan Allah dan sifat kasih sayang Allah telah wujud telaga Zamzam di bumi tandus yang dikelilingi deretan bukit batu. Mataair terus mengalir tidak putus-putus  dan ianya dinikmati bukan sekadar keluarga Nabi Ibrahim a.s dan zuriat-zuriatnya tetapi umat Islam dari seluruh pelusuk dunia.
Dalam saat-saat yang demikian (yakni iman meningkat) apabila kita berdoa, maka doa kita akan dimakbulkan oleh Allah, kerana beriman kepada Allah adalah salah satu syarat terpenting makbulnya sesuatu doa. Firman Allah dalam surat al-Baqarah ayat 186 bermaksud :
” Apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu (wahai Muhammad) tentang Aku maka sesungguhnya Aku hampir. Aku memperkenankan permintaan orang yang meminta, apabila dia meminta kepadaKu. Oleh itu, perkenankanlah seruanKu (yakni patuh titah perintah Allah dan menjauhi laranganNya) dan beriman kepadaKu, semoga mereka berjalan lurus. “
dan, inilah maksud di sebalik sabda Nabi s.a.w maksudnya :
Air Zamzam itu mempunyai seribu satu khasiat mengikut hasrat orang yang meminumnya.”


Allah telah mewajibkan ibadah Saie kepada hamba-hambaNya ketika menunaikan ibadah Haji dan Umrah, sebagai lambang bukti kesabaran dan keteguhan iman seorang wanita Muslimah yang bertaqwa kepada Allah. Ketika kita melakukan ibadah Saie antara Sofa dan Marwah, sepatutnya kita mengenang betapa kesusahan yang dialami oleh Hajar ketika mula-mula menerokai bumi Makkah dulu. Dan, kini kesulitan-kesulitan itu telah diganti dengan seribu satu macam nikmat kurniaan Ilahi.  Tidakkah kita mahu bersyukur ?

Apabila mengenang kesusahan yang dialami oleh orang-orang terdahulu seperti yang dialami oleh Hajar dan keluarganya, maka sudah tentu kesulitan yang kita hadapi pada hari ini adalah tersangat kecil. Tidak wajar seandainya kesulitan yang kecil itu kita mengeluh dan berdukacita sehingga lupa akan nikmat Allah yang tidak terhingga banyaknya yang telah kita terima. Sebagaimana firman Allah dalam surah Ibrahim ayat 34 maksudnya :
 Demi jika kamu hendak menghitung nikmat Allah, pasti kamu tidak dapat menghitungnya (satu persatu).
Hampir jam 3 pagi (5 Mei) selesai tahalul selepas tawaf dan Saie. Seawal jam 3.30 pagi, turun semula ke Masjidil Haram untuk solat subuh (solat dan segala amalan kebaiakan di Masjidil Haram pahalanya 100 ribu kali ganda dibanding di masjid-masjid lain)Allah Hu Akbar...

Memanfaatkan sepenuh-penuh ruang untuk beriktikaf di Masjidil Haram, dapat tawaf setiap hari dan umrah 3 kali. Terdapat ruang dalam perjalanan balik hotel diguna untuk membeli buah tangan untuk rakan dan taulan. 


















Gua Thur (458 meter) sempat didekati , terletak kira-kira 4 km ke selatan Masjidil Haram. Gua yang menyimpan perit getir Rasulullah dalam menyebarkan Agama Islam. Dalam kisah hijrah Nabi dari Mekah ke Madinah, Allah menitahkan untuk Rasulullah berhijrah di waktu malam. Pada malam 26 safar  1 Hijrah (9 September 622), Nabi Muhammad dan Sayidina Abu Bakar telah berhijrah ke Madinah, tetapi sebelum itu, baginda meminta Sayidina Ali bin Abi Talib menggantikan tempat tidur baginda untuk mengabui musuh-musuhnya. Rasulullah membaca surah Yassin, dan dengan kuasa Allah musuh Quraisy tertidur beramai-ramai bagi memberi laluan Nabi pergi ke Gua Thur dengan selamat.



Semasa 3 hari bersembunyi, 5  individu lain menyumbang tenaga untuk Rasulullah  : Abdullah bin Abu Bakar (anak Sayidina Abu Bakar) melaporkan berita harian terkini kota Mekah, Aisyah dan Asma (2 puteri Sayidina Abu Bakar) menyediakan makanan untuk Nabi dan Sayidina Abu Bakar, Abdullah  bin Ariqath berpura-pura menjadi pengembala kambing membekal perahan susu untuk Rasul dan Sayidina Abu Bakar, manakala Amir bin Fuhairah menjadi jurupandu perjalanan ke Madinah.








Melalui lembah Padang Pasir Mina (5 km dari Mekah) tempat pelaksanaan melontar Jamratul Ula, Wusta dan Aqabah (ketika musim Haji) dipenuhi dengan khemah2 untuk berteduh semasa wukuf di Padang Arafah. . . . simbolisasi ketika Nabi Allah Ibrahim mengusir syaitan tatkala hendak mengurbankan putera tersayang Ismail.

Jemaah haji diwajibkan bermalam di situ ketika mengerjakan haji. Mina dikunjungi jemaah pada 8 Dzulhijah (sehari sebelum wukuf). 

Arafah (25 km ke tenggara Mekah) padang pasir yang luas tempat berwukuf antara tergelincirnya matahari 9 Dzulhijjah sehingga terbenam matahari dengan berpakaian ihram. Di sini letaknya Jabar Rahmah (tempat pertemuan semula Adam dan Hawa di muka bumi selepas 40 tahun terpisah) tidak sunyi dengan kunjungan umat Islam seluruh dunia.

    
     Pemandangan khemah di Mina


Semasa berkunjung ke sana, daku panjatkan doa dengan menadah tangan agar umur dilanjutkan, urusan dunia dipermudahkan, kesihatan dikekalkan, dosa sendiri, keluarga, ibu ayah dan keturunan diampunkan, rezeki keluarga dan anak-anak dilipatgandakan.

Setelah matahari terbenam (masuk 10 Dzulhijah) jemaah Haji meninggalkan Arafah ke Mudzalifah.
Perjalanan ziarah luar ke Bukit Uhud...


 Ibu mengukir kenangan di Bukit Uhud
 Aku dan Ibu


 Tugu peringatan gugurnya Pahlawan Agong Islam seperti Syaidina Hamzah dan lain-lain

Aku dan Suami

Pengalaman yang paling indah. 



















Makkah - Ada satu tempat yang tak pernah sepi dari kunjungan para jamaah haji. Tempat itu bernama Jabal Rahmah, suatu gunung yang disebut-sebut punya kisah pertemuan cinta Adam dan Hawa. Bahkan, terdapat monumen yang menandakan romantisme keduanya.




Ada banyak tempat yang menyimpan kisah dan sejarah para nabi di Tanah Suci, Makkah. Jamaah haji pun sering kali melakukan napak tilas dan berdoa di tempat-tempat tersebut dan sekitarnya. Satu tempat yang paling bersejarah adalah Jabal Rahmah.

Dari situs Ministry of Hajj Kingdom of Saudi Arabia,  Jabal Rahmah berada di tepi Arafah yang merupakan suatu kawasan di bagian timur luar Kota Makkah. Jabal Rahmah pun tak jauh dari Padang Arafah, tempat para jamaah haji melakukan ibadah wukuf.

Rahmah memiliki arti kasih sayang. Nama tersebut diambil dari suatu kisah yang diyakini umat Muslim, yaitu pertemuan antara Adam dan Hawa. Jadi, ketika Adam dan Hawa diturunkan ke bumi olah Allah, mereka diturunkan secara terpisah.

Hingga akhirnya, kedua manusia pertama di muka bumi tersebut bertemu di Jabal Rahmah. Untuk mengenangnya, di atas Jabal Rahmah terdapat suatu tugu yang terbuat dari beton persegi empat dengan lebar 1,8 meter dan tingginya 8 meter. Masyarakat setempat percaya, lokasi bertemunya Adam dan Hawa persis di titik tugu tersebut.

Jabal Rahmah sendiri boleh dikatakan sebagai bukit. Tingginya hanya sekitar 70 meter saja dan bisa didaki jamaah haji dengan melewati sekitar 160-an anak tangga. Mendaki Jabal Rahmah dari dasar hingga mencapai tugu Adam dan Hawa, biasanya menghabiskan waktu lebih kurang 15 minit saja.

Di dekat monumennya, tetamu Allah yang berdoa. Ada pula yang terpesona oleh pemandangan Padang Arafah yang bisa dilihat jelas dari atas Jabal Rahmah. Pemandangan cantik yang jadi saksi bisu pertemuan kembali Adam dan Hawa di bumi.

Jabal Rahmah juga jadi tempat bersejarah bagi perjalanan Nabi Muhammad. Di sanalah dirinya menerima wahyu terakhir dari Allah, sekaligus penyempurna dari ajaran Islam.

Banyak yang percaya, jika berdoa minta jodoh di Jabal Rahmah maka permintaannya cepat dikabulkan. Selain itu, sejarah dan pemandangan yang terlihat dari Jabal Rahmah sudah mampu mencuri perhatian jamaah haji.

Sayang, banyak jamaahmenulis nama di tugu Adam dan Hawa. Ingat, jangan sekali-sekali terikut2 amalan ini. Cukup dengan berfoto saja, itu sudah jadi kenang-kenangan tak terlupakan. Selamat mendaki Jabal Rahmah, yang punya kisah romantisme cinta Adam dan Hawa.


Doa dan harapan
Ya Allah . . . .  doaku agar kunjungan tersebut bukanlah kunjungan terakhir buatku dan keluarga. Kami memohon kunjungan-kunjungan berikutnya . . . Sesungguhnya tempat orang Islam serata dunia berkumpul adalah kawasan yang paling indah di dunia. Saat yang paling menyedihkan ialah ketika melakukan tawaf wida. Semasa solat sunat di Multazam, dalam sujud terakhirku di tanah suci, aku melafazkan sepenuh kesyukuran kerana dipilih menjadi tetamu Allah. Terasa berat rasanya untuk mengangkat kaki ini meninggalkan Baitullah. Air mata membasahi pipi, sehingglah ketika meminum air zam-zam, aku masih tidak melepaskan peluang melihat Baitullah walau dari jarak yang begitu jauh . . . . 

Allahu Akbar! Allahu Akbar!  cintaku tertinggal di sana, aku pasti kembali menemuimu Baitullah. Moga Allah memberi keizinan kepada ku dan keluargaku untuk mengunjungi tanah suci itu . . . .  aku akan selalu merindui Baitullah .


Tawaf Wida'

Tawaf Wida' ialah tawaf perpisahan. Wajib kena buat. Kami buat tawaf wida' pada hari kesebelas (Ahad 10 Jun) kami di Tanah Arab. Notis dah awal-awal lagi ditampal di dewan makan. Kami buat Zohor dan tawaf wida' sekali. Ada yang buat tawaf, berhenti untuk solat Zohor dan sambung balik tawaf tadi selepas Zohor. Lepas selesai tawaf aku berdiri di depan salah satu tiang masjid dan memandang kaabah sepuas-puas hati aku. Hati aku macam berdialoq dengan kaabah. Macam-macam aku luahkan. Malas nak tulis kat sini. Macam kekasih yang nak berpisah rasanya. Lepas tu aku berjalan keluar dari masjid tanpa menoleh ke belakang lagi. Pilu sungguh rasa hati. Tiba-tiba pulak aku jadi jiwang. Menangis sepanjang jalan sampai keluar dari masjid di celah-celah orang ramai. Peduli apa. Bukan depa kenal aku pun.

Tentang Tawaf Wida'

Pakej Andalusia menyediakan ceramah khas tentang tawaf Wida semasa kami di Makkah iaitu sehari sebelum kami balik. Berikut ialah apa yang aku sempat kutip dan catat dari ceramah tu. Masa di line hajarul aswad, kena baca niat, "Ya Allah, sengaja aku mengadakan tawaf wida wajib atasku kerana Allah taala." Lepas tu angkat tangan ke hajarul aswad, kucup, then start tawaf tujuh pusingan.

Doa yang perlu dibaca

Masa tawaf, penceramah tu kata, doa tiga perkara iaitu
  1. minta Allah terima ibadah umrah yang telah dilakukan,
  2. minta Allah tidak jadikan umrah ini sebagai umrah terakhir,
  3. dan minta Allah sejahterakan segala urusan selepas ini.

Siapa yang dikecualikan

Tak semua orang wajib kena buat tawaf wida' ni. Pengecualian dari tawaf wida' ialah orang yang uzur syara'i, orang yang ada penyakit tak boleh kawal kencing (penceramah ada sebut nama saintifik penyakit ni, tapi tak sempat salin), dan orang yang takut terlepas jadual perjalanan. Maksud dia, dia kesuntukan masa sebab kelam kabut, jadi kalau dia buat juga tawaf wida' tu, dia akan ketinggalan bas yang bawa dia ke lapangan terbang, dan selepas tu dia akan miss flight balik ke KL. Jadi orang macam ni pun dikecualikan. Moral of the story: kena planned in advance. Tapi kita hanya merancang, Allah yang menentukan.

Waktu paling afdhal

Time paling afdhal buat tawaf wida ni ialah selepas sembahyang Zohor. Kami diberitahu yang fatwa dari Tabung Haji kata, boleh tawaf sebelum Zohor beberapa pusingan, then sambung lagi pusingan yang tak lengkap tu selepas Zohor. Contoh: buat lima pusingan tawaf, then break sekejap untuk sembahyang jemaah Zohor, lepas tu sambung lagi dua pusingan. Tujuannya ialah untuk kejar masa.

Pantang larang lepas tawaf wida

Lepas tawaf wida, tak boleh pergi membeli-belah, tak boleh tido di hotel, dan tak boleh lepak-lepak di masjid. Dalam erti kata lain, lepas je tawaf wida', jemaah mesti dalam keadaan 'ready' untuk berangkat naik bas meninggalkan hotel. Tu sebab tak boleh tido, atau lepak-lepak di bilik hotel tengok tv dan yang seumpama dengannya. Kalau langgar peraturan ni, kena bayar dam. Nilai dam ialah 300 riyal.
Membeli-belah tak boleh kecuali membeli sesuatu sebab kes darurat. Contoh yang penceramah beri ialah bila selipar kita hilang di masjid. Jadi terpaksalah pergi kedai dan beli selipar baru. Kalau tidak, tak kan nak berkaki ayam dalam bas, pergi airport dan balik ke Malaysia. Macam tulah analoginya.
Sebelum aku ke Masjidil Haram untuk tawaf wida' aku turunkan siap-siap bagasi aku ke lobi hotel. Kami diminta buat macam tu. Aku sorang je pi masjid. Wife aku tak pi sebab dia period dan mak aku pulak tak berapa sihat. Jadi aku soranglah yang jadi bangla untuk turunkan semua bagasi. Balik dari masjid aku kemas semua lagi barangan dari bilik hotel dan turun bawah untuk check-out.

Timbang bagasi

Bas dijangka sampai pukul tiga. Semua dah menunggu di loby. Mutawif bawa penimbang kecil (guna tangan) so kami gilir-gilir timbang bagasi masing-masing supaya tak melebihi had yang ditetapkan oleh syarikat penerbangan. Tiga-tiga bagasi besar aku lepas termasuk satu beg tambahan yang penuh dengan barangan cenderahati. Aku dengar ada jemaah buat lawak, 'beg masa balik ni lebih berat dari beg masa datang..' Memang pun.
Bas sampai dan pekerja-pekerja entah dari mana pakat punggah semua bagasi jemaah untuk dimasukkan ke dalam bas. Pada tepat pukul 3.47 ptg bas mula bergerak meninggalkan kota Makkah al-Mukarramah. Selamat tinggal kota Makkah.
Foto atas ialah tentang berita yang keluar dalam akhbar Barita Harian 14 April 2011 tentang larangan mengambil gambar selepas selesai tawaf wida'. Menurut berita tersebut, jemaah haji dan umrah Malaysia dilarang mengambil gambar di sekitar Tanah Haram, Makkah selepas melakukan tawaf wida kerana ia boleh membatalkan tawaf itu dan menyebabkan ibadat yang dilakukan tidak sempurna.
Persoalan berhubung perbuatan mengambil gambar selepas tawaf wida itu dikemukakan pembimbing ibadat haji pada Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan Ke-27 kerana ada jemaah yang musykil sama ada perbuatan itu boleh memberi kesan kepada ibadat mereka atau sebaliknya. Susulan itu, larangan terbabit disenaraikan antara 11 resolusi pada muzakarah yang dihadiri ulama, tokoh agama dan pembimbing ibadat haji di Pulau Pinang, Februari lalu.
Pembimbing Ibadat Haji, Sapawi Che Mat, berkata larangan itu sememangnya wajar kerana tindakan mengambil gambar selepas tawaf wida tiada kaitan dengan urusan ibadat. Malah, jemaah juga dianggap melengahkan perjalanan pulang. Dia juga berpendapat resolusi yang disenaraikan itu wajar disebarkan untuk manfaat jemaah haji dan umrah negara ini bagimengelak melakukan perbuatan yang dilarang hukum syarak.
Sementara itu, bekas Pengurus Besar Bimbingan Haji Tabung Haji, Datuk Daud Che Ngah, berkata mengikut hukum, tawaf wida adalah langkah terakhir bagi jemaah untuk meninggalkan Masjidil Haram. Menurutnya, selepas tawaf wida, jemaah hanya boleh melakukan solat sunat, mengucup Hajar Aswad dan berdoa, jadi mengambil gambar boleh menyebabkan tawaf wida jemaah terbatal dan wajib melakukannya semula atau membayar dam. Menurutnya lagi walaupun ibadat sah, jemaah berdosa kerana melanggar hukum syarak.
Jadi macam mana tu? Kalau dah naik bas, sementara menunggu bas bergerak tu (sebab pekerja hotel sedang memunggah-munggah bagasi dari lobi hotel ke dalam bas) ada jemaah yang mengambil gambar guna handphone di dalam bas. Terbatal jugakkah tawaf wida' kami? Tidak kot. Allah lebih mengetahui.

Madinah melambai-lambai

 Kami tiba di Madinah pada jam 10pm dan menginap di Hotel Mubarak Silver  yang terletak tidak jauh dari Masjid Nabawi. Dari jauh lagi setibanya di kota Madinah yang suci sudah kelihatan minaret Masjid Nabawi yang tersergam indah. Madinah adalah sebuah kota besar yang pesat membangun. 
Mubarak Hotel Silver

Pandangan dari  Hotel penginapan kami lihat masyarakat Arab di Madinah adalah lebih lemah lembut peribadi mereka jika dibandingkan dengan masyarakat Arab di Mekah yang agak kasar. Mengikut Mutawif kami, ini adalah kerana latarbelakang dan sejarah keturunan mereka. Mungkin begitulah kelembutan peribadi Baginda Rasulullah semasa hayatnya.


Di hadapan pintu masuk ke Masjid Nabawi Madinah..Lihat Penutup seperti cendawan kembang bila waktu siang hari dan akan menguncup waktu malam hari.

Masjid Nabawi adalah masjid ke-2 dibangunkan Nabi selepas Masjid Qubah. Lokasi Masjid Nabawi asalnya tempat menjemur kurma dua bersaudara yang yatim Sahl dan Suhail bin Amr, tetapi telah ditebus oleh Nabi Muhammad.  
"Satu kali  solat  di masjidku ini, lebih besar pahalanya dari seribu kali salat di masjid yang lain".

Rawannya hatiku menyaksikan Makam Nabi Muhammad SAW yang terletak di bawah kubah berwarna hijau. Di situlah letaknya, Raudah yang terkenal sebagai lokasi makbul doa di Masjid Nabawi. Raudah adalah lokasi antara kamar Rasulullah dengan mimbar. Kawasannya ditandai dengan permaidani kehijauan (luas 22 X 15 m).


Setiap jemaah yang pernah sampai ke Masjid Nabawi pastinya tidak akan melepaskan peluang melawat makam Rasulullah SAW dan sahabatnya, Khalifah Abu Bakar dan Khalifah Umar. Di samping masuk untuk memberi salam kepada tiga pemimpim agung Islam ini, meyampaikan kiriman salam sahabat dan saudara mara di tanah air...Alhamdulillah salam dan hajat doa kawan2 dapat disempurnakan di Raudhah ini... setiap yang datang pastinya tidak akan melepaskan peluang untuk berdoa di satu kawasan yang dijanjikan Nabi sebagai satu taman daripada syurga atau lebih dikenali sebagai Raudhah. Paling indah jika doa itu dapat didahului dengan solat sunat dua rakaat terlebih dahulu. Alhamdu Lillah hari pertama sempat solat 2 kali di Raudah,    Makam  Nabi Muhammad terletak di bawah Kubah Hijau Al-Masjid an-Nabawi di Madinah yang penuh berkat ini

RAUDHAH..

Namun, bagi yang telah berpengalaman sampai ke Madinah, anda pasti maklum yang waktu dan ruang untuk jemaah wanita melawat Raudhah agak terbatas berbanding dengan jemaah lelaki. Oleh itu daripada pemerhatian dan pengalaman saya yang sangat-sangat terbatas ini, saya ingin berkongsi sedikit panduan untuk mencari ruang agar dapat melakukan solat sunat dan berdoa di Raudhah. Pengalaman setiap orang mungkin berbeza, jadi diharapkan apa yang saya kongsi di sini dapat memberi kebaikan pada semua, jika ada kesilapan saya mohon maaf.
Ketika saya melakukan ziarah pada Mei 2014 yang lalu, waktu masuk ke Raudhah untuk jemaah wanita adalah pada selepas solat Subuh, selepas solat Zohor dan selepas solat Isyak berjemaah. Cara mudah untuk bertanyakan sama ada Raudhah akan dibuka atau tidak (untuk kita yang tidak tahu berbahasa Arab ini :) ialah dengan bertanyakan kepada pekerja Masjid Nabawi yang berasal dari Indonesia. Bilangan mereka agak ramai di sana dan mudah ditemui.
Lokasi berkumpul sebelum dibenarkan masuk ialah di dalam kawasan berpagar 'Women without children' di dalam kawasan solat jemaah wanita. Maaf saya tidak dapat sempat mengambil gambar kerana takut kamera dirampas oleh pihak pengawal masjid. Kebiasaannya jemaah wanita akan diminta berkumpul mengikut negara masing-masing sebelum dilepaskan masuk ke dalam Raudhah secara berkumpulan. Jemaah dari Malaysia dan Indonesia biasanya akan dikumpulkan sekali. Walaupun pihak masjid cuba mengatur kemasukan jemaah, hakikatnya terlalu ramai yang ingin masuk dan keadaan akan menjadi terlalu berasak-asak sehinggakan amat sukar untuk mencari ruang untuk sujud sebentar.
Jadi saya nasihatkan jangan bergerak sekaligus dalam kumpulan yang terlalu besar. Jika kumpulan besar, cuba pecahkan kepada beberapa pasangan berdua sahaja. Ini boleh memudahkan pergerakan mencelah-celah di kala manusia ramai bertolak-tolak masuk ke Raudhah. Jangan takut hilang jika terpisah daripada pasangan atau kumpulan. Hanya ada satu jalan keluar dari Raudhah, jadi jangan lupa berjanji untuk menunggu pasangan atau ahli kumpulan yang lain di jalan keluar ataupun bertemu di pintu masuk/keluar masjid.

Di bawah ada saya lakarkan secara kasar gambarajah aliran masuk dan keluar jemaah ke kawasan Raudhah. Petak hijau melambangkan karpet hijau yang menandakan kawasan Raudhah. Petak merah melambangkan karpet merah yang bukan lagi kawasan Raudhah.
Laluan jemaah wanita masuk ke Raudhah

Kawasan A paling sesak kerana orang saling tolak-menolak untuk masuk sedangkan ramai jemaah cuba mengambil peluang untuk berhenti dan solat sunat di situ. Para pengawal masjid sendiri akan melarang untuk solat tetapi apalah dayanya melawan ratusan manusia yang sangat dahagakan syafaat dan janji benar Nabi SAW ini.  Berilah salam kepada Rasulullah, Abu Bakar dan Umar dan berdoa sambil berjalan, jika tidak dapat berhenti dan terus berjalan keluar dari kawasan raudhah ke kawasan karpet merah. Ya, betul, berjalan terus keluar ke karpet merah. Jadi macam mana nak solat dan berdoa di Raudhah? Perhatikan aliran jalan keluar A-B-C-D-E. Jalan di A-B-C paling sesak kerana ramai orang cuba solat. Tetapi di kawasan D & E, kawasan lebih lengang kerana orang tidak mahu keluar daripada Raudhah. Perhatikan juga yang F juga ialah kawasan Raudhah. Jadi ketika berada di D atau E, perhatikan tempat kosong di G dan segera masuk semula ke situ untuk solat sunat dan berdoa.
Kebiasaannya kedudukan pengawal berada di kawasan yang saya tanda dengan bulatan hitam. Tugas utama mereka adalah untuk meminta jemaah tidak solat dan sekadar ziarah mengucapkan salam sahaja. Jadi ketika telah keluar dari raudhah, pandai-pandailah 'berlegar-legar' di situ sebelum disuruh keluar oleh pengawal. Pernah juga kerana keadaan yang agak sesak sehingga saya mengambil keputusan untuk menunggu sambil membaca Al-Quran. Alhamdulillah, selepas seketika, Allah permudahkan ruang untuk saya solat dan berdoa. Perlu juga diingatkan jika tiada juga ruang untuk bersolat, memadailah jika dapat berhenti sejenak di raudhah dan berdoa. Sebagai alternatif boleh juga solat di kawasan karpet merah dan melintas sebentar untuk berdoa selepas solat di karpet hijau. Semoga di samping kita mengejar janji keberkatan berdoa di Raudhah, kita tidak lupa menjaga akhlak agar kita nanti tidak malu untuk menghadap Rasulullah SAW.
Raudhah (karpet hijau) dan luar Raudhah (karpet merah) - sumber Google

Alternatif kedua untuk masuk ke Raudah adalah menggunakan jalan keluar – ini biasanya lebih mudah kerana jalan sangat lengang berbanding jalan masuk. Cuma risikonya di sini adalah ada kemungkinan akan ada pengawal yang menjaga jalan keluar ini, jadi sebab itu pergerakan berseorangan atau berdua-dua lebih mudah berbanding bergerak dalam kumpulan besar. Jalan keluar dari raudhah ini adalah melalui jalan di sebelah kanan, di luar pagar 'Women without children'. Jika menggunakan jalan ini, anda akan sampai terus ke kawasan E. Apabila anda mendapati pintu raudhah telah dibuka untuk jemaah wanita, bolehlah mencuba bergerak mengikut jalan songsang daripada luar kawasan berpagar “Women without children”. Saya berpengalaman sekali mengikuti jalan ini, kami pergi lebih kurang jam 8 pagi (selepas pulang ke hotel dan sarapan dahulu) dan Alhamdulillah Allah mengizinkan kami masuk dengan mudah tanpa perlu berasak-asak.
Sebagai kesimpulan, ingin juga diingatkan agar para jemaah berlaku adil pada orang lain yang juga mencari ruang utuk solat dan berdoa di raudhah. Oleh itu janganlah mengambil masa yang terlalu lama di raudhah dan berilah juga ruang pada orang lain yang juga punya hajat untuk merayu pada Ilahi. Semoga ada kebaikan daripada panduan yang saya kongsikan di sini. Jika ada fakta yang tidak betul, harap sudi beri teguran.
Update: Perkongsian daripada rakan-rakan yang masuk bersama jemaah Malaysia dan Indonesia - Ada pembimbing yang akan beri tazkirah semasa menunggu giliran masuk. Jemaaah Malaysia/Indonesia meruapakan kumpulan terakhir masuk kerana tahap kesabaran orang kita yang lebih tinggi. Jadi mungkin boleh membeli belah dulu di sepanjang jalan pulang ke hotel
.



Memenuhi jadual ziarah luar ke Masjid Quba..

Ini adalah kerana , Rasullullah SAW bersabda yang maksud nya  " sesiapa yang berwudhuk dirumah nya , kemudian pergi ke Masjid Quba' untuk bersolat, akan di beri ganjaran pahala sama seperti pahala menunaikan umrah "

Menurut sebuah hadith Sahih daripada Tirmizi , " melakukan solat di dalam Masjid Quba' adalah sama dengan melakukan Umrah "

Masjid Quba' , masjid yang di bina atas dasar taqwa dan iman , adalah Masjid yang pertama di bina dalam sejarah Islam . Dalam surah Al Taubah , ayat 108 ,Allah SWT berfirman yang maksud nya , " sesungguhnya masjid yang di dirikankan atas dasar taqwa sejak hari pertama adalah lebih patut kamu bersolat di dalam nya " .
Walaupun ada pendapat yang mengatakan bahawa ayat ini diturunkan khas di tujuk kepada Masjid Nabawi namun ada juga pendapat mengatakan bahawa ayat ini ditujukan kepada Masjid Quba' . Walau bagaimana pun kedua dua pendapat ini tidak bercanggah kerana kedua dua buah masjid ini dibina atas dasar Taqwa .

Masjid Quba adalah masjid pertama dalam sejarah 
 yang dibina oleh Muhammad setibanya di Madinah




 
SEJARAH

Masjid Quba' terletak di perkampungan Quba' iaitu kira kira 3 Km dari arah selatan bandar Madinah . Quba' di ambil daripada nama sebuah telaga . Masjid ini berbentuk empat persegi dan terkini telah di perluaskan kawasan nya menjadi hampir 5 035 meter persegi .
Sebuah Hadith yang di riwayatkan oleh Imam Al Bukhari daripada Ibnu Umar r.a bahawa Rasulullah SAW selalu ke Masjid Quba' pada hari Sabtu , Kadang kadang pada hari Isnin dan Khamis dengan menaiki unta atau berjalan kaki .

Masjid Quba' dibangunkan pada hari Isnin 8 Rabiulawal , setiba nya Rasullullah SAW  di perkampungan Quba' dalam perjalanan hijrah dari Makkah . Baginda bermalam selama empat hari bersama Bani 'Amru Bin Auf di rumah Kalthum Bin Al-Hadm .

Dalam riwayat yang diceritakan oleh Al-Syimus Binti Al-Nu'man rha , bahawa " Aku melihat Rasullullah SAW memikul batu bata diatas belakang nya sehingga bongkok badan nya . Debu dan pasir memenuhi tubuh dan baju nya . Apabila sahabat sahabat minta untuk mengambil bebanan itu daripada baginda , beliau enggan sebaliknya menyuruh mereka membawa bebanan lain .

Sesudah itu baginda mengimami solat secara berjemaah bersama para sahabat dan pada waktu berkiblatkan Masjidil Al-Aqsa .



















Kenangan indah dan segala pengalamanku di Makkah al Mukarammah dan Madinah al Munawarah kekal di sanubariku. Aku berangkat ke Labangan Terbang Madinah pada hari yang ke duabelas. Semoga umrahku diterima Allah s.w.t dan semoga aku dijemput menjadi tetamuNya lagi dan lagi....Insya Allah...Amin




Terima Kasih Sudi Singgah