Anda mungkin antara wanita bertuah. Cantik, berjaya dan hidup mewah kerana memiliki kerjaya hebat. Kalau sudah berkeluarga, anda bagaikan menghampiri kesempurnaan kerana dianugerahi suami penyayang serta dilimpahi kemewahan. Ringkasnya, apa lagi yang anda dambakan dalam hidup kerana semuanya sudah dimiliki.
Percaya atau tidak, jika pada zahirnya anda kelihatan sempurna, hakikatnya dalam hubungan bersama suami, masih banyak kekurangan diri yang perlu diperbaiki.
Hubungan dengan suami ada ketikanya melalui fasa agak sukar kerana berlaku salah faham, kurang prihatin atau silap tanggapan terhadap sesuatu perkara.
Ia mungkin nampak kecil hanya disebabkan wanita kurang memahami suami atau teman lelaki atau mungkin, suami i yang tidak faham naluri dan kehendak wanita.
Dalam hal ini, ada sesuatu harus dipelajari kedua-duanya untuk mencapai persefahaman. Panduan berikut mungkin boleh digunakan untuk lebih memahami pasangan:
1) Wanita suka melihat sesuatu perkara remeh bagi lelaki itu sebagai perkara besar, contohnya soal pilih gerai makan.
Wanita cerewet memilih gerai makan sehingga suka tarik muka jika gerai itu tidak berkenan di hati, sedangkan lelaki anggap soal makan agak mudah, boleh makan di mana saja.
2) Wanita sensitif tidak tentu pasal kerana inginkan perhatian sedangkan lelaki banyak memikirkan perkara penting.
3) Wanita suka diberi perhatian dan ada kalanya manja tidak bertempat. Sikap ini menyebabkan mereka 'syok sendiri' dan suka dipuji. Jika tidak dipuji mereka mungkin merajuk.
4) Ada wanita terlalu perasan dan mudah menjeruk perasaan kerana sering mengharapkan lelaki memahami mereka sedangkan mereka tidak mahu memahami lelaki.
5) Lelaki tidak suka menunjukkan perasaan mereka melalui kata-kata, tetapi hanya memerhati. Wanita harus terima hakikat itu.
6) Ada wanita suka membeli-belah terlalu lama hingga membosankan lelaki, menyebabkan lelaki malas dan tidak beri perhatian pada sikap wanita yang suka menghabiskan masa untuk tujuan itu.
7) Ada wanita terlalu banyak cakap mengenai diri orang lain dan mudah ke arah 'mengata dan mengutuk' jika dilayan kata-kata mereka, ini menyebabkan lelaki suka berdiam diri.
8) Lelaki lebih suka menyuarakan perasaan hati mereka melalui perbuatan dan bukan perkataan.
9) Lelaki suka berdiam diri dan tidak suka bising, tetapi tidak bermakna mereka tidak prihatin kepada anak dan isteri.
10) Suami tidak suka diperintah, dikongkong dan dikawal. Jika isteri atau teman wanita melakukan 'kawalan' kepada lelaki, dia akan bosan dan tidak akan memberi perhatian kepada apa juga permintaan wanita.
11) Adakalanya wanita kurang bijak menunjukkan kasih sayang kepada suami, tetapi hanya mengharapkan suami memberi kasih sayang.
12) Jangan terlalu bergantung pada suami dan teman lelaki pada perkara yang mampu wanita lakukan, tetapi ada pula wanita yang suka bergantung harap sangat kepada suami dengan tujuan suami sentiasa berada di sisi mereka. Ini mungkin tidak digemari suami atau teman lelaki.
13) Wanita mesti memahami diri mereka sendiri dan peranan mereka serta mengubah perangai mengikut peringkat umur dan keperluan.
Jika masih muda elok juga merajuk, tetapi jika sudah mempunyai anak ramai dan berusia, elakkan perbuatan itu kerana ia tidak memberi faedah.
14) Sesetengah wanita suka bertanya itu dan ini kepada suami atau teman lelaki, tetapi tidak suka kepada jawapan diberikan mereka. Ini membuatkan suami atau teman lelaki bosan melayan soalan wanita.
15) Wanita tidak perlu menunjuk-nunjuk kecantikan, kepandaian dan kekayaan mereka. Kelebihan itu mungkin memperbodohkan lelaki sehingga mereka tidak berminat melayan kerenah wanita sedemikian.
Post a Comment